Wednesday, April 23, 2008

MODAL INSAN SMK SERI TANJONG

Teras ke-2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 menegaskan bahawa, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya.
Adman Smith (1776) , menyatakan modal manusia didefinisikan sebagai modal tetap. Beliau menyatakan:
“…….. Ia tidak termasuk manusia sebagai modal manusia, walau bagaimanapun semua manusia mencari pendidikan, atau latihan ia memerlukan perbelanjaan, oleh itu manusia dianggap sebagai modal tetap…..” (sumber: Shahril Marzuki),

Alfred Marshall (1930) menyatakan bahawa manusia dianggap modal, dimana melalui latihan dan pengalaman akan meningkatkan pengeluaran pekerja dan akhirnya mempunyai kesan kepada ekonomi negara. ( Sumber : Shahril Marzuki)
Schultz (1963), pula menyatakan bahawa manusia ialah modal terutama apabila manusia mempunyai pengetahuan atau ilmu dan kemahiran yang diperolehi melalui pendidikan. (Sumber: Shahril Marzuki).
Modal insan juga ditakrifkan oleh Mincer dan Gary Backer sebagai aset-aset yang dimiliki oleh seseorang individu dan individu memperolehi pulangan melalui aset-asetnya. Aset-aset yang dimaksudkan ialah ilmu pengetahuan, pengalaman, kemahiran, akal, peribadi, jiwa, nilai-nilai murni, fikiran dan intelek.
Modal insan juga boleh diertikan sebagai himpunan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang dimiliki oleh seseorang individu yang boleh digunakan untuk menggerak kerja yang berfaedah bagi individu, organisasi dan persekitarannya.
Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan modal insan menurut prespektif Islam ialah satu keunggulan keperibadian yang dimiliki oleh manusia melalui penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran yang tinggi dan akhlak yang mulia dalam konteks melaksanakan tugas dan tanggungjawab bersama yang diamanahkan bagi meningkatkan kemakmuran bagi manusia dan alam seluruhnya. (Dr Abd Rahman bin Ahmad 2006). Modal insan yang berkualiti menurut islam juga adalah manusia yang mengenal hakikat diri, kenal tuhan dan tunduk patuh kepadanya. Diri yang ‘Kamaliah’ luaran dan dalamannya. Sedar akan dirinya selaku hamba dan khalifah Allah di muka bumi.
Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju menjelang tahun 2020. Nilai tambah yang perlu ada pada modal insan yang diingini adalah dari segi modal pengetahuan, kemahiran, keperibadian, rohani dan jasmani. Kesemua nilai tambah ini dapat disuntik sewaktu mereka berada dalam alam persekolahan. Di peringkat sekolah merupakan masa yang amat penting dalam pembentukan peribadi seseorang manusia. Ia merupakan satu pendidikan formal yang lengkap kurikulumnya bersesuaian dengan tahap umur dan pencapaian seseorang murid dilingkungan di mana mereka berada.

Kerana manusia (seharusnya) sentiasa mahu meningkatkan kemajuan diri, dan ini dikatakan pembangunan modal insan, pembangunan minda kelas pertama...jika tidak bangsa kita tidak akan jadi maju," katanya.
Oleh itu rakyat mesti ada usaha untuk menambah nilai diri, kemajuan diri dan ilmu pada diri mereka untuk tidak menjadi jumud, kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas melancarkan Sistem e-Merah dan portal I Cerve U (I Serve U) anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Manakala nilai inteleknya adalah terdiri daripada ilmu yang diperolehi oleh mereka yang boleh membawa kepada kebenaran, daya pemikiran yang kreatif dan inovatif, daya pemikiran yang logik dan analitis, ilmu yang bermanfaat, dan suka kepada ilmu dan mengamalkan budaya ilmu serta belajar sepanjang hayat.
Ttiada noktah dalam mengejar ilmu pengetahuan dan tidak ada sesuatu yang lebih bernilai bagi sesuatu bangsa, melainkan ilmu yang ada pada masyarakatnya. Katanya, manusia adalah nilai dan aset paling besar bagi sesuatu bangsa kerana manusia boleh diberikan ilmu pengetahuan, kepandaian, kecekapan dan kemahiran supaya dapat menyumbang kepada pembangunan bangsa dan tamadun. (Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi)

Memperkayakan modal budaya bermaksud memperkayakan keseluruhan ruang lingkup kehidupan seseorang insan yang meliputi keyakinannya terhadap tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa, penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat , berbudi perkerti mulia dan berbakti serta sanggup berkorban untuk bangsa dan negara. Unsur jasmani juga tidak diabaikan dengan memiliki kecergasan fizikal dan menjaga kesihatan diri dan dapat menggunakan anggota dan tenaga fizikal sendiri untuk berdikari dan hidup bermasyarakat.
Menurut Perdana Menteri juga, matlamat menjadikan kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang sebagai sasaran perlu digerakkan bagi meningkatkan pencapaian dan nilai diri sesuatu bangsa. Beliau berkata, tanpanya, yang ada tinggal hanya kejumudan yang akan menyaksikan mereka tidak bergerak ke hadapan, tidak mengecapi kemajuan, tidak mempunyai nilai tambah dan akan terus ketinggalan.
Memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral masyarakat “berminda kelas pertama” merupakan masyarakat intelektual, mampu bersaing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki moral yang kuat, menghayati dan mempunyai appresiasi terhadap budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan agamanya. Masyarakat sedemikian memiliki identiti nasional yang utuh dan tidak mudah hanyut bersama arus globalisasi. Prinsip-prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kesetiaan kepada Raja dan negara, semangat Islam Hadhari yang menekankan kepada pegangan prinsip-prinsip berasaskan nilai-nilai universal yang luhur, akan senantiasa diterapkan.
Pembangunan insan yang holistik dan pengukuhan perpaduan negara akan turut
disumbangkan melalui penglibatan langsung rakyat dalam aktiviti budaya, kesenian dan warisan. Kesedaran rakyat mengenai peranan budaya, kesenian dan warisan dalam kehidupan harian, mempromosikan industri budaya dan kesenian negara menjadi agenda Negara yang berterusan.
Dalam teras Membangunkan Modal Insan, hasrat kerajaan adalah untuk melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi, berkebolehan untuk belajar, bekerja, berkomunikasi dan berinteraksi dengan berkesan; berkeyakinan tinggi, berupaya berfikir secara kreatif dan kritikal serta mampu bertindak secara rasional; sentiasa menghormati kelainan orang lain dan
perbezaan individu; serta berupaya menjadi pemimpin yang baik dan berkesan di
dalam keluarga dan masyarakat, seperti yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Untuk tujuan itu pihak SMK Seri Tanjong iaitu di organisasi saya, beberapa program telah dilaksanakan dan ianya berupaya untuk membangunkan modal insan seperti yang dihasratkan dalam teras ke-2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Program ini boleh dikategorikan kepada kurikulum, program kokurikulum, program sukan, program pembudayaan adab dan budi bahasa, program 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan), program pengukuhan disiplin pelajar dan program memantapkan dan memperbaharui sistem pentaksiran dan penilaian. Melalui program-program yang dilaksanakan ini dapat membantu pihak sekolah membentuk ketrampilan dan keperibadian seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Program Kurikulum
Menteri Pelajaran Malaysia YB Dato’ Seri Hisammudin Tun Hussein menegaskan bahawa

Pendidikan merupakan salah satu komponen atau asas penting yang boleh menjadi wahana kepada pencapaian matlamat membina masyarakat Malaysia yang berintegriti, bermoral dan beretika. Kita perlu bersikap adil dengan tidak menafikan bahawa agenda ini telahpun terkandung dalam sistem pendidikan kebangsaan. Malah Falsafah Pendidikan Negara secara jelas menggariskan matlamat untuk membentuk insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, rohani, emosi dam jasmani. Falsafah ini kemudiannya diterjemahkan dalam sistem pendidikan negara dengan pelbagai strategi dan pendekatan. (Menteri Pelajaran Malaysia, YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein)

Program kurikulum yang diwujudkan di sekolah saya untuk melahirkan modal insan yang berkualiti di antaranya ialah Program Ke Gerbang IPT Program ini bertujuan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai wawasan ke arah kecemerlangan akademik dan meningkatkan motivasi pelajar dengan penganugerahan sebagai galakan. Pelajar-pelajar yang terlibat adalah pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Program ini dilaksanakan sepanjang tahun. Penganugerahan galakan pelajar akan diadakan setiap kali selepas ujian atau peperiksaan. Penerima anugerah akan menerima sijil mengikut jenis galakan yang diterima. Jenis galakan ialah Galakan Perdana, Galakan Yang DiPertua PIBG untuk pelajar-pelajar yang memenuhi kriteria kecemerlangan dan anugerah Sijil Perdana dan Sijil YDP untuk pelajar yang mencapai tahap kelulusan yang minima. Majlis penganugerahan akan disempurnakan oleh tetamu VIP dan pelajar yang menerima anugerah akan diraikan bersama tetamu VIP dan ibu bapa mereka. Pelajar yang menunjukkan pencapain paling cemerlang pula dipilih sebagai Anak Angkat Pengetua dan diberikan baucer sebanya RM100 untuk membeli buku-buku rujukan. Kesan daripada program ini telah melahirkan murid yang rajin berusaha untuk mencapai daya intelektual yang tinggi dan menyediakan peluang yang seluas-luasnya kepada mereka untuk mendapat kejayaan yang cemerlang. Pencapain Program ke Gerbang IPT ditunjukkan dalam jadual 1 di bawah.
Jumlah Penerima Anugerah Program Gerbang ke IPT
Jenis Anugerah Pengetua Sijil YDP/PERDANA Sijil
Feb Apr Jun Sept Feb Apr Jun Sept Feb Apr Jun Sept Feb Apr Jun Sept
PMR 13 20 23 30 154 164 170 186
SPM 14 16 18 24 112 118 124 133
STPM 20 23 30 35 23 20 33 33
Manakala murid-murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan awam seperti murid tingkatan 1, 2, 4 dan tingkatan 6 rendah program penghargaan untuk mereka tetap juga diadakan. Contoh program-program untuk kelas bukan peperiksaan ialah Program Persediaan Awal PMR, SPM dan STPM dan Program Tunas Bestari.
Program yang dilaksanakan di peringkat awal tahun ialah Program Motivasi, Kelas Tambahan Berjadual, Kelas Cemerlang Bestari (untuk calon PMR), Kelas Asak Minda (untuk calon SPM) dan Program Eksplorasi Tingkatan 6. Kesemua program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan prestasi pelajar-pelajar dalam bidang akademik. Mereka diberi penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran dengan cara yang lebih intensif.
Manakala program peringkat pertengahan tahun ialah Program Teknik Menjawab dan Program Pemantapan Minda. Program ini dilaksanakan bertujuan supaya pelajar-pelajar lebih bersedia dan pengetahuan dan kemahiran mereka di perkukuhkan lagi menjelang peperiksaan sebenar. Pelajar-pelajar yang masih belum mencapai tahap seperti yang dikehendaki akan dikenalpasti dan pihak sekolah dan guru akan memantau dan memberikan lebih perhatian kepada mereka. Peringkat akhir tahun pula ialah Program Puncak PMR, SPM dan STPM. Pada peringkat akhir program-program ini lebih kepada memberi motivasi kepada pelajar agar yakin dan percaya kepada diri sendiri bahawa usaha mereka selama ini akan membuahkan kejayaan seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Program ke Gerbang IPT merupakan program yang menyokong program-program akademik yang lain dengan kemuncaknya memberi anugerah kepada pelajar yang layak. Oleh itu melalui program ini akan dapat menghasilkan modal insan yang boleh disuntik nilai tambahnya dan di tingkatkan nilai inteleknya. (nyatakan analisis)keputusan peperiksaan??
Selain daripada program akademik yang telah disebutkan pihak sekolah juga berupaya menyediakan program atau aktiviti Pusat Sumber yang menyokong kepada kejayaan dalam bidang akademik. ’Kecemerlangan Pusat Sumber bermakna Kecemerlangan Akademik’ , ini merupakan moto yang sentiasa diperkatakan oleh Tuan Pengetua SMK Seri Tanjong. SMK Seri Tanjong telah menjadi Johan PSS kategori luar bandar di peringkat negeri sebanyak tiga kali. Aktiviti yang dianjurkan seperti Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca), Bulan PSS, Minggu ICT, Eksplorasi Buku, Bulan Membaca, Info PSS, Penerbitan Buletin dan sebagainya telah, membantu beberapa program akademik dan berupaya melahirkan modal insan seperti yang dikehendaki dalam teras 2 PIPP. Prasarana PSS yang disediakan seperti menyediakan unit-unit PSS sebanyak 25 unit dengan pelbagai kemudahan peralatan terkini dan pelbagai bahan bacaan serta media telah membuktikan bahawa peranan PSS berupaya untuk menyokong kurikulum SMK Seri Tanjong.
Guru dan kakitangan sekolah juga merupakan modal insan yang penting dalam membangunkan sesebuah sekolah untuk mencapai ke tahap cemerlang. Beberapa program untuk guru turut dilaksanakan bersesuaian dengan teras ke-2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Di antara program-program yang dilaksanakan untuk guru ialah Program Perkembangan Staf, Program Buddy System (Sistem Bimbingan Taulan), Kursus Fasilitator, Kursus Penyediaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran, Micro Teaching, Kursus Teknik Pemeriksaan Kertas Jawapan PMR, SPM dan STPM. Selain dari itu di peringkat Kawasan Tanjong pula pihak sekolah dengan kerjasama sekolah-sekolah berhampiran melalui PKG (5) Kg Gelam telah mewujudkan Kumpulan Kerjasama Akademik Kawasan PKG (5) dan saya telah bertindak sebagai setiausaha. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan pencapaian pengajaran guru-guru dan seterusnya membantu pelajar memperolehi keputusan peperiksaan yang cemerlang. Di peringkat negeri pula terdapat program untuk pelajar-pelajar GALUS (Gagal dan Lulus) yang dilaksanakan dengan kerjasama antara Majlis Guru Cemerlang dengan pihak Jabatan Pelajaran Negeri Melaka.
Program kurikulum yang dilaksanakan di sekolah saya dilengkapkan lagi dengan penggunaan ICT secara meluas. Projek ICT sekolah terbahagi kepada dua iaitu yang pertama projek dari Kementerian Pelajaran Malaysia melalui projek perkomputeran dan makmal komputer dan membantu pihak sekolah dengan menyediakan bahan bantu mengajar menggunakan ICT untuk membantu guru mempelbagaikan P & P seperti penggunaan Teaching Courseware Bahasa Inggeris dan On the Shelf Courseware yang menyediakan set perisian yang menggunakan bahan elektronik interaktif multimedia. Selain dari itu Pihak Kementerian Pelajaran juga menyediakan talian jalur lebar Schoolnet , PPSMI, dan TV Pendidikan yang melibatkan aspek-aspek infrastruktur ICT dan aplikasi pengurusan, pengisian dan latihan. Projek kedua ICT di sekolah saya dibiayai sepenuhnya oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pihak PIBG telah menyediakan 42 buah komputer yang lengkap untuk kegunaan pelajar dan ianya terletak di makmal Siber 3 dan Siber 5. Makmal Siber 1, 2 dan 4 merupakan projek ICT dari pihak Kementerian Pelajaran. Projek PIBG ini memberi peluang kepada pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2 untuk memperolehi kemahiran asas ICT atau literasi komputer. Projek ini bermula semenjak tahun 2000 dan kekal sehingga sekarang. Ini bermakna 100% pelajar di SMK Seri Tanjong adalah celik ICT termasuk pelajar-pelajar Pendidikan Khas. Manakala guru-guru telah meningkatkan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran sebanyak lebih 70%. Di samping itu PIBG juga membantu guru-guru dengan membekalkan komputer di Bilik Bitara Ismail Saleh (Bilik Peperiksaan) yang dilengkapi dengan internet dan juga di beberapa bilik-bilik khas untuk kegunaan P & P. Talian jalur lebar Streamyx merupakan talian internet yang kedua yang dibayar sepenuhnya oleh PIBG dan ianya menyokong 60% penggunaan internet di sekolah termasuk sistem wireless (tanpa wayar) di persekitaran sekolah. Pelaksanaan program ICT di SMK Seri Tanjong adalah memenuhi sepenuhnya hasrat dan dasar KPM iaitu untuk memastikan semua pelajar celik komputer, mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai mata pelajaran atau pengupaya dalam P & P dan menggalakkan penggunaan ICT bagi meningkatkan produktiviti, kecemerlangan dan keberkesanan sistem pengurusan. Sebagai menilai dan menghargai pencapaian pelajar dalam bidang ICT setiap pelajar yang telah tamat tingkatan 2 dan telah menguasai sekurang-kurangnya pengetahuan asas komputer dianugerahkan sijil yang disumbangkan oleh PIBG sekolah.

Program kokurikulum
Kokurikulum dikenali sebagai kurikulum tambahan atau pendidikan untuk waktu lapang atau aktiviti kelas tambahan (Mok Song Sang). Aktiviti kokurikulum merupakan pelbagai aktiviti pendidikan di luar Sukatan Pelajaran dan disertai oleh pelajar-pelajar mengikut minat atau kepandaian istimewa diri mereka. Tujuan program kokurikulum diwujudkan di sekolah ini ialah untuk memupuk minat, kegemaran, dan mengembangkan keperluan, intelek, kebolehan dan bakat kreatif, meluaskan bidang ilmu pengetahuan, dan kemahiran pemikiran. Oleh itu di sekolah ini telah diwujudkan 3 jenis aktiviti kokurikulum iaitu permainan dan olahraga, persatuan dan kelab dan pasukan pakaian seragam (Unit Beruniform)
(i) Permainan dan olahraga
Di SMK Seri Tanjong, terdapat lapan jenis permainan iaitu badminton, bola baling, bola jaring, bola tampar, bola sepak, hoki, sepak takraw , ping pong dan petanq di samping empat buah rumah sukan iaitu Rumah Tuah, Rumah Jebat, Rumah Lekir dan Rumah Lekiu. Murid-murid diberi kebebasan untuk memilih permainan yang diminati untuk mengasah bakat mereka. Mereka berlatih 3 kali seminggu pada waktu petang di bawah bimbingan guru-guru dan jurulatih bertauliah yang telah ditetapkan. Semasa sessi latihan mereka diberikan ilmu pengetahuan mengenai sesuatu permainan , undang-undang dan kemahiran yang perlu mereka kuasai. Apabila mereka bermain di gelanggang mereka akan menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi daripada guru. Mereka juga mengamalkan budaya bagaimana untuk bekerjasama, hormat-menghormati, berdisiplin ,bersaing dalam suasana yang sihat, bertoleransi, bertanggungjawab dan sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi di samping dapat memelihara kesihatan fizikal dan mental, menggalakkan interaksi dan integrasi diantara murid-murid dan menjalin hubungan rapat antara sekolah dengan masyarakat. Berikut ialah pencapaian murid-murid SMK Seri Tanjong di peringkat Negeri, Kebangsaan dan peringkat Dunia.
Bil Tahun Augerah / Pencapaian
1 2006 Kebangsaan

1. Perahu Layar –peringkat Kebangsaan
2. Golf- Tempat ke 18,dalam World Malaysian Trophy
3. Golf – Tempat ke 4 mewakili Malaysia ke Asian

Peringkat Negeri Melaka
1. Petanq- Johan 11 tahun berturut- turut
2. Hoki – Tempat ke Tiga ( Lelaki & Perempuan bawah 15 thn )
3. Golf- Johan MSSM Negeri Melaka.
2 2007 Peringkat Dunia (World) Golf- Johan individu dan ”First Runner-up Malaysian Team” dalam World Amateur Inter-Team Golf Championship di Danau Selangor Golf Club, Bukit Kemuning , Selangor anjuran Persatuan Golf Malaysian – Muhammad Fadhli bin Muhammad Fadzil

Kebangsaan
1. Golf- Tempat ke tiga - Sport Excel junior Championship
2. Perahu Layar – Tempat ke 34 dan ke 35 dalam Kejohanan Open Regatta Royal Malaysian Navy Yacht Club, Lumut Perak.

Peringkat Negeri
1. Golf Remaja – Johan MSSMNM
2. Bola Sepak Bawah 15 tahun :–
-Naib Johan Piala Juara-juara Sekolah
Negeri Melaka
- tempat keempat Negeri Melaka.
3. Petanq- Johan Negeri Melaka.

Jadual 2: Pencapaian pelajar dalam permainan tahun 2007.

Dari jadual menunjukkan bahawa pelajar-pelajar di SMK Seri Tanjong berkeupayaan mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan seiring dengan pencapaian akademik. SMK Seri Tanjong juga berwatakkan permainan petanq dan menjadi rujukan dari sekolah-sekolah yang berhampiran dan peringkat negeri malahan sehingga ke peringkat kebangsaan.

(ii) Persatuan dan Kelab
Aktiviti Persatuan dan Kelab juga menyumbang dalam pembentukan ketrampilan dan keperibadian yang tinggi dalam kalangan murid-murid di
SMK Seri Tanjong. Ini boleh diterapkan melalui 16 Persatuan Akademik yang telah ditubuhkan terdiri dari Persatuan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Sains ,Matematik, Kemahiran Hidup, Ekonomi Rumah Tangga, Perdagangan, Ekonomi, Reka Cipta, Komputer ,Geografi, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni Visual, Seni Reka Tanda dan 10 Kelab iaitu Kelab Pengguna , Keselamatan Jalanraya, Usahawan Muda , Seni Budaya, Pelancongan, Anti- Jenayah, SPBT, Kaunseling dan Kerjaya, Anti-dadah dan Prostar, Alam Sekitar Setia, Fotografi dan Pusat Sumber.
Pelaksanaan aktiviti persatuan dan kelab dijalankan pada setiap hari Rabu antara jam 1.15 hingga 2.30 petang, bergilir-gilir antara keduanya. Ini memberi ruang supaya kedua-dua organisasi dapat menjalankan aktiviti masing-masing mengikut jadual. Aktiviti yang dijalankan melalui Persatuan dan Kelab juga merupakan satu cara pembelajaran yang berasaskan gerak kerja terancang dan ia adalah lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Oleh itu aktiviti berpesatuan dan kelab dapat melengkapkan pelajar dengan sifat-sifat kecemerlangan diri, seperti kepimpinan, mempunyai daya saing, jati diri, kreatif, kritis, berkeyakinan tinggi dan mempunyai daya tahan disamping menyediakan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi antara satu sama lain, dapat memupuk nilai-nilai murni, seperti kerjasama , semangat kekitaan , menambah , mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran yang dipelajari di bilik darjah dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan.
Jadual 3 di bawah menunjukkan contoh kejayaan yang telah di capai oleh Persatuan dan Kelab di SMK Seri Tanjong sepanjang tahun 2007 . Ini membuktikan bahawa aktiviti sedemikian mampu mengupaya dan membangunkan modal insan dari aspek membentuk ketrampilan dan keperibadian yang tinggi demi mencapai hasrat negara .
Pencapaian kejayaan Persatuan / kelab tahun 2007

Tahun Persatuan / Kelab Pencapaian 2007

Bahasa Melayu
1. Johan Pertandingan Forum Remaja
Negeri Melaka.
2. Mewakili Negeri Melaka ke peringkat kebangsaan di Putrajaya mendapat tempat
keempat.
3. Tempat ketiga Negeri Melakabagi Pertandingan Pidato Lembaga Hasil dalam Negeri
(LHDN).

2007
Bahasa Inggeris
1. Tempat kedua Drama Bahasa Inggeris
Kawasan tanjong.
2. Tempat kedua – Kem Public Speaking Peringkat Negeri Melaka.

2007
Persatuan Agama Islam
1. Tempat kedua Kawasan Tanjong -Pertandingan Tadarus Al-Quran Sekolah Menengah
Negeri Melaka .
2. Johan Negeri Melaka- Kuiz Falak On-line Negeri Melaka


2007
Persatuan Ekonomi Rumah Tangga
1. Tempat keempat- Pertandingan Memasak Bersama Maggi Kawasan Melaka Tengah
2. Tempat keenam – Pertandingan Memasak Bersama Maggi Peringkat Negeri Melaka.

Jadual 3: Pencapaian kejayaan Persatuan / kelab tahun 2007


(iv) Unit Beruniform
Untuk memantapkan lagi ketrampilan dan keperibadian murid-murid
di SMK Seri Tanjong , pihak sekolah telah menubuhkan sebanyak 13 Unit Badan Beruniform ( Pasukan pakaian Seragam ) iaitu Pasukan Kadet Bersatu, Kadet Polis, Bulan Sabit Merah, Pergerakan Pengakap,Kadet Remaja Sekolah, Kadet Bomba dan Penyelamat, Puteri Islam, Putera Islam, Pandu Puteri, Rangers, Tae Kwan Do, Seni Silat Gayong dan Seni Silat Cekak .
Aktiviti pasukan ini dijalankan pada setiap hari jam 3.00-5.00 petang mengikut kelapangan jurulatih dari luar dan diawasi oleh guru penasihat. Semasa latihan dijalankan murid-murid didedahkan dengan latihan kawad, gotong- royong, berkhemah, latihan kecemasan dan sebagainya . Melalui aktiviti ini nilai-nilai murni seperti kerjasama , keberanian, berdikari, kejujuran , taat setia kepada ketua serta semangat bermasyarakat dapat diterapkan.
Jadual 3 menunjukkan pencapaian yang telah dicapai oleh
Pasukan Unit Beruniform SMK Seri Tanjong sepanjang tahun 2007.seterusnya membuktikan bahawa melalui aktiviti unit beruniform dapat membentuk ketrampilan dan keperibadian yang tinggi dalam kalangan muri-murid khususnya membina semangat bekerjasama, mematuhi pemimpin dan memupuk budaya mencintai sekolah, masyarakat dan negara.

Tahun Unit Beruniform Pencapaian

2007
Kadet Bersatu Malaysia
1. Program Jati Diri di Padang Kemunting, Masjid tanah:
(i)Johan –Khemah terbersih
(ii)Johan – Persembahan terbaik
2. Tempat Ketiga – Pertandingan Menembak Berpasukan di Perkhemahan Tahunan
Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Darat)
3. Seorang atlit mewakili Kotinjen PKBM Melaka bagi Kem Dwi Tahunan Kebangsaan
di Ipoh Perak .

2007 Bulan Sabit Merah
1. 8 orang mewakili kontenjen PBSMM Melaka bagi Kem Dwi Tahunan Kebangsaan kali
ke 8.
2. Johan –Malam Kebudayaan UUKA
3. Johan – Persembahan UUKA
4. 3 orang mewakili kontenjen PBSMM Melaka bagi Pertandingan Pertolongan
Cemas Kebangsaan di Pahang .

2007 Pergerakan Pengakap kump 27
1. 4 orang mewakili sekolah ke Program Pendidikan Luar Anjuran JPN Melaka.
2. Seorang ahli berjaya menamatkan kursus Penolong Pemimpim Pengakap di Kem
Pengakap, Bkt Katil
3. 16 orang mkenyertai Jambori Pengakap Melaka Bandaraya Bersejarah di Kem
Pengakap, Bukit katil.

2007 Kadet Bomba dan Penyelamat
1. Johan – Gerai terceria sempena Karnival Kokurikulum di SMK Seri Tanjong
2. Tempat Ketiga – Khemah Terbaik di Perkhemahan Pasukan Bomba dan Penyelamat
negeri Melaka .

Jadual 4: Pencapaian kejayaan Unit Beruniform tahun 2007


Pencapaian yang telah ditunjukkan oleh modal insan di SMK Seri Tanjong dalam bidang kokurikulum telah membuktikan bahawa ianya selaras dengan kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu pihak sekolah dapat memantapkan program kokurikulum dan sukan, memastikan pelaksanaannya dibuat secara cekap bagi mendapat penyertaan menyeluruh agar dapat melahirkan pelajar yang seimbang perkembangan jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan sukan membantu menyediakan pendidikan yang holistik daripada segi meningkatkan kemahiran sosial pelajar, melengkapkan pelajar dengan sifat-sifat kecemerlangan diri seperti kepimpinan, daya saing, jati diri, kreatif, kritis, berkeyakinan tinggi dan daya tahan, mengukuh dan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, minat dan bakat pelajar dalam pelbagai bidang serta meningkatkan tahap disiplin pelajar melalui penyemaian dan pemupukan nilai-nilai murni dan sikap positif selaras dengan hasrat Rukun Negara.

Program pembangunan rohani dan pembudayaan adab dan budi bahasa.

Penekanan kepada pembangunan insan terutama dalam aspek rohani dan spiritual amat dititik beratkan oleh pihak sekolah. Pihak sekolah menyedari bahawa modal insan yang hendak dibentuk bukan sahaja cemerlang dalam aspek kurikulum dan kokurikulum tetapi aspek pembangunan rohani turut ditekankan. Program pembangunan insan dan rohani yang diadakan adalah seperti Pembangunan Sahsiah, Majlis Tazkirah, Bacaan Yasin dan Solat Hajat, Ceramah-ceramah Agama, Seminar dan Bengkel berunsurkan pembangunan insan dilakukan sempena sambutan hari kebesaran Islam seperti Ma’al Hijrah, Isra’ Mikraj, Maulidur rasul, Awal Muharam, Bulan Ramadhan , Kursus Haji, Kursus Pengurusan Jenazah dan Kem Jati Diri. Kesemua program ini bertujuan untuk menyedarkan pelajar terutama yang beragama Islam bahawa sebagai hamba Allah mereka perlu patuh dan taat kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah atau terpuji dan menjauhkan sifat-sifat mazmumah atau terkeji supaya menjadi umat yang cemerlang dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
Warga sekolah yang bukan beragama Islam tidak dipinggirkan begitu sahaja mereka diajar dengan Subjek Pendidikan Moral. Subjek ini menekankan aspek kerohanian, kemanusiaan dan kemasyarakatan. Penumpuan adalah ke arah pemupukan nilai-nilai moral yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di Malaysia . Penekanan pengajaran ke arah pemupukan, penghayatan dan penerapan nilai-nilai murni, 16 nilai yang telah di terima oleh Jawatankuasa Pendidikan Akhlak 1976 diajar kepada murid-murid sebagai asas pembentukan peribadi. Nilai-nilai ini mampu menjadikan pelajar insan dan warganegara yang baik serta berakhlak mulia, berilmu pengetahuan dan bertanggungjawab kepada diri, masyarakat dan negara. Nilai-nilai itu terdiri daripada baik hati, berdikari, berhemah tinggi, kesyukuran, hormat-menghormati, kasih sayang , keadilan , kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, keederhanaan, rasional dan semangat bermasyarakat.
Dalam konteks pendidikan, budi bahasa dan adab sopan telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan menerusi pelaksanaan KBSR dan KBSM, penggabungjalinan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni merentasi kurikulu. Untuk memantapkan keperibadian pelajar program adab dan budi bahasa diwujudkan di sekolah ini. Di antaranya ialah program Bulan Budi Bahasa, Sayangi Rakan Anda, Rumahku Syurgaku, Jalinan Mesra dan Program Hulurkan Tanganmu. Program ini dilaksanakan bersesuaian dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu memastikan budi bahasa dan nilai-nilai murni dibudayakan pada peringkat sekolah secara berterusan agar pelajar dapat menghargai dan mengamalkan nilai dan budaya bangsa dalam kehidupan seharian. Kesannya kepada pelajar-pelajar di SMK Seri Tanjong, mereka lebih menghormati rakan, guru dan ibu bapa serta masyarakat di luar sekolah. Mereka juga menyedari pentingnya perhubungan yang akrab dan jujur antara rakan dan guru-guru.

Program 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan)

Amalan kebersihan perlu disemai dan dipupuk sejak awal dari rumah dan diperkukuhkan serta diperkembangkan di sekolah agar menjadi amalan sepanjang hayat. Pihak sekolah telah melaksanakan program gotong royong, pertandingan kelas terbersih, program kitar semula dan program keceriaan. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk membina perlakuan amalan kebersihan sebagai budaya hidup yang berterusan dalam menjalani kehidupan seharian. Ia juga bertujuan meningkatkan keperihatinan dan komitmen warga sekolah terhadap kebersihan, keindahan dan keceriaan serta menghargai kemudahan yang disediakan. Melalui amalan-amalan ini akan memupuk semangat kepunyaan serta kesediaan bekerja sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat amalan kebersihan sekolah dan mewujudkan iklim serta identity sekolah sebagai institusi yang sihat, bersih, indah dan ceria, bersesuaian dengan objektif Kementerian Pelajaran Malaysia.
Aspek kesihatan juga diambil perhatian oleh pihak sekolah dengan menyediakan program pemeriksaan gigi secara percuma kepada pelajar, ceramah-ceramah kesihatan oleh pegawai perubatan daerah, program pencegahan denggi dan pencegahan dadah, menjadikan sekolah kawasan larangan merokok, mewujudkan Program Sihat Tanpa Aids untuk Remaja (PROSTAR) dan melaksanakan pengajaran mata pelajaran Jasmani dan Kesihatan. Kesedaran terhadap kesihatan juga disokong oleh aktiviti kokurikulum yang ditawarkan oleh pihak sekolah seperti Persatuan Bulan Sabit Merah. Matlamat program ini adalah selaras dengan dasar KPM iaitu untuk meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai amalan kesihatan diri, menggalakkan amalan cara hidup sihat dan memastikan persekitran sekolah yang bersih, ceria, selamat dan sihat.
Matlamat mewujudkan program sekolah selamat adalah untuk mewujudkan budaya selamat di sekolah dan menjadikan persekitaran sekolah tanpa gangguan mana-mana pihak sama ada dari dalam mahupun dari luar melalui kerjasama keluarga, komuniti dan pihak sekolah. Program yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada aktiviti pelajar, bencana alam, fizikal dan bangunan sekolah, sosial serta persekitaran dan lokasi sekolah. Program melalui Kelab Keselamatan Jalanraya telah dapat membantu pelajar memahami pentingnya keselamatan diri dijaga dan mempunyai perasaan bertimbangrasa.

Program Pengukuhan disiplin pelajar

Selain dari program-program yang telah disebutkan, terdapat juga program pengukuhan disiplin pelajar yang dilaksanakan di sekolah ini yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan Akhlak dengan pelbagai program yang dilaksanakan mendapat kerjasama pihak guru dan ibu bapa. Melalui program ini dapat memupuk sifat benar, jujur, amanah, saling menghormati dan suka membantu serta berkasih sayang di kalangan pelajar di sekolah juga boleh dibawa sehingga di kalangan keluarga. Program yang dilaksanakan di sekolah SMK Seri Tanjong untuk mengukuhkan disiplin pelajar termasuklah Program Kempen Budi Bahasa, Program Antidadah, Tabung Kebajikan Pelajar, Kempen Anti Buli, Kempen Anti Ponteng, Program Pembentukan Sahsiah dan Program Buku Peraturan Sekolah. Sebagai contoh pihak sekolah saya telah menetapkan supaya setiap pelajar memiliki Buku Peraturan Sekolah. Di dalamnya dicatat Rukun Negara, Lagu Negaraku, Lagu Sekolah, Visi, Misi Sekolah dan yang paling utama bahagian peraturan yang wajib dipatuhi meliputi cara berpakaian, potongan rambut bagi murid lelaki dan perempuan, peraturan keluar-masuk kawasan sekolah , peraturan semasa berada di kawasan sekolah dan larangan-larangan keras yang mesti dijauhi oleh semua murid. Tujuan peraturan sekolah diwujudkan adalah bagi mengukuhkan disiplin murid.
Kempen-kempen atau kursus disiplin yang diadakan dianjurkan bersama oleh agensi-agensi luar. Pihak sekolah mendapat kerjasama dari pihak Polis Diraja Malaysia dengan mewujudkan seorang pegawai perhubungan sekolah yang dapat membantu sekolah menyelesaikan masalah disiplin terutama kes-kes kecurian, ponteng sekolah, penyalahgunaan dadah dan kes-kes yang dikategorikan sebagai kes yang serius.
Jelas menunjukkan bahawa program-program yang dilaksanakan untuk mengukuhkan disiplin pelajar dapat membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin. Peratus pelajar ponteng misalnya telah dapat dikurangkan sebanyak 20% sepanjang tahun 2007. Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua warga sekolah dan ibu bapa serta masyarakat luat juga turut membantu mengatasi atau mengurangkan masalah displin pelajar.

Program memantapkan dan memperbaharui sistem pentaksiran dan penilaian

Sistem pentaksiran dan penilaian merupakan salah satu aspek yang perlu diberi penekanan dalam menentukan kualiti pendidikan dan pencapaian pelajar. Pentaksiran dan penilaian adalah salah satu komponen utama proses pembelajaran dan merangsang pembelajaran bagi memotivasikan pelajar untuk memperbaiki prestasi dan pencapaian akademik. Mata pelajaran yang terbabit dengan pentaksiran ialah mata pelajaran Kemahiran Hidup bersepadu ( Kemahiran Teknikal dan Ekonomi Rumah Tangga) Teknologi Maklumat, Reka Cipta , Ekonomi Rumah Tangga Menengah Atas dan Pendidikan Seni Visual, Geografi dan Sejarah iaitu subjek-subjek yang mempunyai komponen kerja kursus. Untuk memantap pelaksanaan pentaksiran di sekolah saya, beberapa langkah dijalankan iaitu memberi taklimat kepada murid sebelum kerja kursus dijalankan. Taklimat bertujuan memberitahu dan menerangkan kepada murid-murid projek yang akan mereka laksanakan, tujuan, jadual kerja membuat projek ,kriteria-kriteria setiap aspek projek yang patut dicapai untuk mendapat skor A dan membimbing murid-murid cara-cara mendokumentasikan projek yang telah dilaksanakan.
Untuk memantapkan sistem penilaian pula pentadbir SMK Seri Tanjong menetapkan lima kali ujian/ peperiksaan dilaksanakan sepanjang tahun,iaitu Ujian 1 (Awal Febuari), Ujian 2( Akhir Mac) , Peperiksaan Pertengahan tahun ( akhir Mei), Ujian 3(Julai / ogos) , Peperiksaan Percubaan PMR / SPM dan Peperiksaan Akhir tahun (Oktober). Penyelaras Tingkatan akan menyediakan jadual peperiksaan, tarikh ujian serta subjek ditentukan, jadual kerja untuk memproses markah dan tarikh rekod prestasi murid disiapkan. Pemprosesan markah dilakukan menggunakan sistem komputer dengan ini membantu pihak pentadbir dan ketua panitia memperolehi analisis dengan cepat . Setelah analisis ujian /peperiksaan diperolehi , semua ketua-ketua panitia akan memanggil mesyuarat ahli panitia masing-masing untuk membincangkan kelemahan dan kekuatan murid seterusnya mengambil langkah pembaikan dan pemulihan untuk peningkatan prestasi dalam ujian yang akan datang. Dengan cara ini prestasi murid dapat dipantau dan kecemerlangan sekolah dapat dipertingkatkan sebanyak 35% dengan lebih berkesan.
Sistem pentaksiran yang dilaksanakan dapat memastikan pencapaian pelajar diukur bersandarkan ujian rujukan kriteria yang memberi penekanan kepada task-based assessment seperti yang dikehendaki oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Manakala sistem penilaian yang dimantapkan di sekolah dengan bantuan dan sokongan penggunaan ICT telah membantu pihak sekolah menghasilkan sistem penilaian yang cekap dan teratur. Pemakaian sistem ini telah berupaya membantu pihak sekolah untuk membangunkan modal insan sama ada guru ataupun pelajar.

Kesimpulan
Dasar Kementerian Pelajaran Malaysia adalah jelas iaitu membangunkan modal insan yang mempenyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni. Manakala matlamatnya pula adalah untuk memupuk semangat menguasai ilmu pengetahuanm kemahiran dan kompetensi, menerapkan nilai, moral dan sikap positif serta membina disiplin diri di kalangan pelajar. Pihak Sekolah SMK Seri Tanjong telah menjelmakan dasar dan matlamat ini dengan melaksanakan beberapa program yang berupaya membangunkan modal insan seperti yang dihasratkan dalam teras ke-2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Adalah jelas menunjukkan bahawa program-program yang dilaksanakan di sekolah telah dapat membantu modal insan di sekolah ini memperbaiki diri ke tahap yang lebih cemerlang di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Program ini juga merupakan program yang menyeluruh yang meliputi kurikulum, kokurikulum dan semua aspek kehidupan pelajar yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaa. Semuga program – program yang dilaksanakan ini dapat dikekalkan serta diberi penambahbaikan dari masa kesemasa untuk membangunkan lebih ramai modal insan yang berkualti dan berakar di peringkat nasional dan berakal di peringkat internasional. Program-program ini juga diharapkan akan menjadi contoh atau rujukan kepada sekolah-sekolah lain atau institusi pendidikan lain di dalam negara atau diluar negara.

1 comment:

MYBIDON said...

tahniah

my email: kotaaur@gmail