Thursday, March 19, 2009
PEMANTAPAN ILMU DALAM KALANGAN GURU TINGKATAN 6
Penjenamaan semula tingkatan 6 dinantikan dengan penuh debaran dan teka-teki oleh guru-guru yang mengajar tingkatan 6, terutama yang berkaitan dengan perjawatan mereka. Tanggungjawab perjawatan terletak di pihak Kementerian Pelajaran, tetapi bagaimana pula tahap kesediaan guru-guru tingkatan 6 dalam memantapkan keilmuan mereka untuk mengajar pelajar-pelajar yang tahapnya seperti program pra-U. Adakah guru-guru atau bakal pensyarah ini telah bersedia dengan penambahan ilmu untuk mengajar bakal-bakal siswazah ini? Rata-rata guru tingkatan 6 hanya menunggu bilakah mereka akan dinaikkan taraf ke DG44 atau DG48 atau DG52. Persediaan sebagai tenaga pengajar yang lebih proaktif dan outstanding masih terbatas dan belum nampak dengan jelas. Masih mengajar menggunakan pendekatan lama. Tidak berani menggunakan teknologi terkini seperti ICT dalam P & P. Masih berhujah dengan isi kandungan buku-buku rujukan tanpa memperbaharui fakta yang boleh didapati di hujung jari dan masih terikat dengan idea dan falsafah lama. Guru masih melaksanakan tugas rutin sebagai guru. Penambahbaikan dari segi P & P atau pengurusan kerja yang selayaknya untuk mencapai tahap tertinggi masih belum dicapai. Jika perjawatan sahaja yang diambil peduli oleh bakal-bakal pensyarah ini, bermakna tiada perbezaan sebelum atau selepas penjenamaan semula tingkatan 6. Tiada bezanya dengan guru-guru yang mengajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Selalunya guru hanya menunggu arahan apa perlu dilaksanakan tanpa mahu berfikir ke hadapan apa yang patut dilaksanakan untuk memantapkan kedudukan mereka sebagai guru terutama guru tingkatan 6. Atas kesedaran bahawa apabila kita telah diletakkan di tempat yang terbaik, kita sepatutnya membalas dengan cara bekerja 10 kali terbaik, sesuai dengan taraf yang telah dianugerahkan kepada kita. Barulah selesa apabila kita digelar pensyarah di sekolah.
Subscribe to:
Posts (Atom)